Didoakan agar Allah mencucuri rahmat ke atas Rohnya. Semoga ilmu yang bermanfaat yang diajarkan menambahkan timbangan pahala ke atasnya.
Allahumaghfirlahu warhamhu wa'afihim wa' fu anhu. Amiin.
Pelaburan Wang Dari Kaca Mata Dato' Salleh Majid
MINGGU lepas saya dijemput oleh TV3 menerangkan tentang emas sebagai pelaburan alternatif dalam program Bijak Wang. Minat dengan pelaburan emas memang sedang meningkat. Melalui program tersebut pun ada beberapa penonton yang menelefon bertanyakan beberapa perkara tentang emas. Saya diminta menerangkan mengapa wajar melabur dengan emas. Emas sebenarnya ialah suatu komoditi yang tidak luntur ditelan zaman. Walau tertanam beribu-ribu tahun sekalipun, emas tetap berkilau.
Tidak ada negara yang mata wangnya tidak tertakluk kepada turun naik nilai emas, termasuklah negara kita semasa krisis 97/98 yang mana mata wang kita dikatakan menjadi bahan spekulator dan pernah jatuh ke paras serendah RM4.50 untuk satu Dollar Amerika. Mata wang dunia tidak lagi disokong oleh emas dan negara seperti Amerika Syarikat didapati boleh mengeluarkan seberapa banyak wang sesuka hati mereka. Sekian lama mata wang Dollar Amerika digunakan untuk segala-galanya daripada rizab negara kepada dagangan dunia.
Boleh dikatakan tidak ada urusan yang tidak lepas daripada Dollar Amerika sehinggalah Kesatuan Eropah menghasilkan Euro yang menjadi pencabar kepada kedudukan Dollar Amerika. Apabila berlaku krisis ekonomi pada tahun 2008 yang berpunca di Amerika, dollar terus tertekan kedudukannya selaku mata wang utama. Tambahan pula negara seperti China yang banyak membeli Bil Perbendaharaan Amerika Syarikat merasa bimbang mengenai penurunan nilai dollar dan menyarankan penggunaan mata wang alternatif untuk perdagangan. Pada waktu sama China juga mengajak negara-negara Asia Barat mengubah haluan menggunakan mata wang lain selain Dollar Amerika.
Suasana begini dicampur dengan defisit kerajaan Amerika yang berjumlah trilion dollar menyebabkan ramai orang membeli emas selaku pelindung atau insuran. Mereka yang mengambil langkah perlindungan ini bukan saja orang individu tetapi juga negara. Selasa minggu lepas, Bank Negara India telah membeli 200 tan emas dari Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan ia telah melonjakkan harga emas pada hari itu. Dikhabarkan IMF akan menjual sebanyak 200 tan lagi. Kenaikan permintaan ini menyebabkan harga emas terus meningkat.
Minggu lepas sehingga semalam (Jumaat) emas naik dari AS$1091 (RM3,815) seauns kepada AS$1106 (RM3,871). Bagaimanapun mereka yang ingin membeli emas patut melihat pembeliannya untuk disimpan selama 365 hari. Bukan untuk dijual minggu depan atau bulan depan kerana dengan mengambil sikap demikian segala turun naik harga (volatiliti) dapat diatasi. Misalnya sejak setahun lalu, harga emas naik sebanyak 52 peratus dari AS$734.90 (RM2,572) seauns kepada AS$1116.80 (RM3,908) seauns. Kalau emas tidak penting mengapa kerajaan India membeli 200 tan emas minggu lepas? Kebimbangan akan kejatuhan nilai matawang dolar Amerika dan kemungkinan pemulihan mungkin akan mengambil masa lebih lama daripada dijangkakan kerana pengangguran di AS hampir mencecah 10 peratus dan masalah yang membelenggu sektor perumahan belum dapat diatasi lagi.
Seperti yang pernah dinyatakan dahulu, emas boleh dibeli secara buku pas dan secara syiling atau keping (wafer) dari bank-bank perdagangan. Selain itu, barang kemas juga suatu pelaburan dalam “bentuk emas” walaupun ketulenan emas pada barang kemas adalah rendah daripada emas keping iaitu 91.6 peratus bagi barang kemas dan 99.99 bagi syiling dan emas keping.
Bagi Bursa Malaysia pula, mungkin Dana Dagangan Bursa Emas (Gold Exchange Traded Fund) mungkin boleh difikirkan selaku salah suatu tawaran di bursa kita. Dengan adanya ETF Emas ini dapatlah lebih ramai pelabur melabur dalam emas dengan modal yang lebih rendah.




